JOHOR BAHRU – Hasrat 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal mereka melalui jalan tikus tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam serbuan Ops Landai di Kota Tinggi, petang semalam.
Serbuan itu dilakukan antara pukul 3 hingga 4 petang di tiga lokasi di dalam hutan berhampiran pantai Minyak Beku Sungai Rengit di Kota Tinggi dan berhasil memeriksa serta menahan 13 lelaki, berusia antara 13 hingga 47 tahun, serta dua perempuan berusia 30-an.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, pemeriksaan awal mendapati kesemuanya berada di hutan itu sejak semalam untuk menunggu bot pancung.
Namun, mereka dipercayai terkandas untuk pulang dengan menaiki tersebut kerana cuaca yang buruk, selain terdapat kawalan ketat pihak berkuasa.
Khiu berkata kesemua tahanan kini berada lokap Ibu Pejabat Daerah Kota Tinggi dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah dan cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan.- Bernama