SEMALAM kecoh di laman Facebook mengenai dakwaan insiden samseng jalanan di Lebuhraya PLUS sekitar negeri Melaka.
Video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Aniss Hamid itu telahpun tular dan telah mendapat perhatian netizen.
Mana taknya, Aniss mendakwa kereta yang dipandunya hampir dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda City dan diekori oleh tiga kereta lain iaitu kereta Proton Preve, Proton Gen 2 dan juga Proton Persona.
Kejadian dilaporkan berlaku di Lebuhraya Plus KM194.6, Kuala Lumpur, arah utara.
Menurut Aniss, kereta Honda City itu memandu dalam keadaan berbahaya dan hampir melanggarnya.
Disebabkan itu dia membunyikan hon dan memberhentikan kereta di sisi jalan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Kenderaan yang saya pandu cuba ingin dilanggar oleh kereta jenis Honda City QM1074C yang berlagak samseng jalanan di lebuhraya.
Saya memberhentikan kereta disisi jalan, bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini,” tulisnya di laman Facebook.
Menurut Aniss, kereta-kereta itu telah mengepung kenderaan yang dipandunya dan beberapa orang lelaki telah keluar dan mengetuk cermin tingkapnya.
Disebabkan rasa takut, Aniss tidak keluar dari kereta dan hanya merakam aksi lelaki-lelaki itu sebelum bertindak menelefon pihak PLUS dan pihak polis.
Hampir 15 minit pihak peronda Plus tidak kelihatan, Aniss bertindak mengejar kereta polis yang kebetulan lalu di kawasan itu dan menceritakan kejadian yang telah berlaku.
Tambah Aniss lagi, pihak polis tersebut telah mengiringi mereka ke destinasi yang ingin dituju.
“Pihak polis memberi jaminan akan escort kami ke destinasi yang dituju. Saya berterima kasih kepada kedua anggota polis dari Balai Polis Mersing yang mengiringi kami sehingga tiba ke destinasi yang dituju,” tulisnya.
Walau bagaimanapun, insiden ini mengundang tanda tanya netizen kerana mereka agak keliru dengan dakwaan yang katanya kereta tersebut dikepung dan dihalang agak bercanggah dengan video yang ditunjukkan.
Malah, ada juga yang mempertikaikan tindakan Aniss yang memberhentikan keretanya di lorong kiri dan bukannya lorong kecemasan seperti yang dibuat oleh pemandu empat kereta terbabit.
Video Aniss itu telah menerima sebanyak 8.5 ribu likes dan dikongsi sebanyak 25 ribu kali setakat ini.
Sebagai pengguna jalan raya, pemandu haruslah mengambil langkah berhati-hati sebelum memulakan pemanduan dan ingat jangan membahayakan nyawa orang lain disebabkan pemanduan anda.
Dan kalau ye pun nak buat viral, pastikanlah anda memang wajar menularkan perkara yang dialami itu, kalau tak kelak makan diri je, dik! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim