BRASILIA – Ketua Pendakwa Brazil yang baharu dilantik Raquel Dodge, merombak semula pasukan penyiasatan yang ditugaskan untuk menyiasat skandal rasuah terbesar pernah dijalankan di Amerika Latin.
Dodge, yang menggantikan Rodrigo Janot, sebelum ini penah mempelawa semua anggota pasukan pendakwa yang dilantik Janot bagi menjalankan siasatan kes rasuah di bawah operasi dinamakan “Car Wash”.
Bagaimanapun, hanya sebahagian yang menyatakan hasrat untuk kekal.
Beliau kemudian memutuskan menggantikan seluruh pasukan dengan pilihannya sendiri dan hanya beberapa pendakwa sebelum ini akan dikekalkan selama sebulan untuk membantu proses peralihan.
Penyiasatan “Car Wash” yang bermula awal 2014 membabitkan syarikat minyak utama negara Brazil Petrobras yang menyaksikan lebih 100 ahli politik berdepan pertuduhan.
Menurut profesor dasar awam di Yayasan Getulio Vargas Carlos Pereira sudah pasti ada perubahan dalam cara tetapi ia dilihat tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam penyiasatan.
“Tetapi anggota yang dipilih Dodge sangat profesional dan telah menunjukkan kemahiran dalam membanteras rasuah,” katanya.
Antara yang akan dilantik sebahagiannya ialah bekas pendawa yang pernah terbabit dengan pasukan penyiasatan skandal rasuah politik “Mensalao” pada 2005.
Skandal itu berakhir apabila pegawai tertinggi kerajaan pentadbiran bekas Presiden Luiz Inacio Lula da Silva didapati bersalah membayar anggota parlimen sebagai balasan di atas sokongan mereka. – BERNAMA