BUTTERWORTH – Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPP) hari ini menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Majlis Peguam Siti Kassim dan tokoh politik David Orok yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam.
Timbalan Ketuanya Ahmad Rafaie Abdul Rashid berkata kedua-dua individu itu jelas dilihat membangkitkan unsur penghinaan bukan hanya terhadap ibadah korban malah terhadap Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail melalui status yang dimuat naik melalui Facebook mereka.
“Kenyataan mereka juga berbaur hasutan dan berbentuk provokasi malah turut menyentuh sensitiviti umat Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang jelas berdasarkan pandangan ulama dan fuqaha.
“Berikutan itu, DPPP hari ini membuat laporan polis terhadap Siti Kassim dan David Orok bagi membolehkan satu siasatan berasas prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas dua individu itu dilaksanakan segera,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Butterworth di sini hari ini.
Siti Kassim dilapor memuat naik status di Facebooknya mengkritik ibadah korban dan David Orok yang menyatakan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail adalah anak luar nikah jauh bertentangan dengan ajaran asas yang dipelajari umat Islam dalam Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Ahmad Rafaie berkata tindakan perlu diambil segera kerana pihaknya bimbang kenyataan tersebut disalah erti dan memesongkan akidah umat Islam yang kurang arif dalam agama hingga menjadikan keadaan bertambah serius.
Beliau berkata kenyataan mereka juga ditafsirkan sebagai menentang Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan menentang serta mencabar Yang di-Pertuan Agong selaku penaung agama Islam di negara ini.
“Selain itu, ia juga bersifat ancaman serta menggugat ketenteraman awam dan kedaulatan negara. Kami berharap pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis ambil tindakan sewajarnya bagi membendung provokasi melampau seperti ini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mendesak kedua-dua mereka menarik balik kenyataan dan memohon maaf atas keterlanjuran kepada seluruh umat Islam dan berjanji agar kenyataan sebegini tidak berulang. – BERNAMA