MELAKA – Keadaan banjir di Melaka semakin pulih apabila dua buah pusat pemindahan banjir telah ditutup hari ini dan hanya tinggal sebuah lagi pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata dua pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Kampung Tanjung Rimau Luar, Gadek ditutup pada pukul 2.15 petang dan Balai Raya Kampung Panchor yang menempatkan pelajar dan pengajar Madrasah Tahfiz al-Quran Ainur Syukriah ditutup pada 10.15 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Beliau berkata kesemua mangsa banjir di kedua-dua pusat pemindahan tersebut dibenarkan pulang ke rumah masing-masih apabila cuaca semakin baik dan air sungai kini berada di paras normal.
Katanya hanya tinggal sebuah pusat pemidahan yang masih beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Durian Tunggal yang menempatkan seramai 39 mangsa daripada tujuh keluarga. – BERNAMA