TIADA ibu yang sanggup melihat anak-anaknya pergi dahulu menghadap Ilahi sebelum dirinya. Namun, itulah suratan yang harus diterima olehnya meskipun perit ditelan.
Ketika azan Subuh berkumandang, Mashawani Mohamed Shahid, 29, menerima khabar kehilangan tiga anak lelakinya yang menjadi mangsa dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung di ibu negara, Khamis.
Tiga anak lelakinya ialah Muhammad Syafiq Haikal, Muhammad Hafiz Iskandar dan Muhammad Harris Ikhwan.
Ketiga-tiga beradik ini dikatakan berumur 10,11 dan 12 tahun, namun kesahihannya masih belum dapat disahkan.
Kebakaran tersebut meragut 24 nyawa termasuk dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan.
Difahamkan, ketiga-tiga kanak-kanak tersebut merupakan anak saudara kepada pelakon popular 90an, Mas Anizan.
Perkara ini diketahui daripada perkongsian anaknya, Mas Aliza di laman Instagram miliknya.
“Assalammualaikum, maaf saya tak dapat nak balas satu per satu DM kerana terlalu ramai yang bertanya. Ya, ketiga-tiga beradik (dalam gambar) yang terkorban dalam kebakaran Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Keramat, pagi tadi adalah sepupu saya.
Saya mewakili keluarga yang lain ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala ucapan takziah dan doa. Mohon jasa baik semua untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa yang terkorban. Once again, thank you very much for your kind words and dua-s. We really appreciate it.
P/S: Mohon jasa baik anda semua untuk tidak viralkan/menyebarkan gambar-gambar dan video yang boleh menyentuh sensitiviti pihak keluarga. Kami harap anda faham perasaan kami selaku keluarga mangsa. TQ,” tulisnya menerusi kapsyen gambar tersebut. – MYNEWSHUB.CC