TINDAKAN pelakon Hans Isaac memaafkan ketelanjuran kata-kata Zizan Razak ketika majlis Festival Filem Malaysia 29 (FFM29) telah mendapat pujian daripada netizen.
Baca: Hans Isaac Terima Kata Maaf Zizan Razak
Kini, pelakon Datuk Eizlan Yusof juga dilaporkan menerima permohonan maaf pelawak popular berkenaan.
Pada mulanya, Eizlan, 46, akui agak sedih dengan tindakan Zizan yang mempersendakan dirinya dan Hans berhubung gelaran ‘Datuk’ yang diterima.
Namun, beliau menghormati tindakan berani Zizan yang menghubunginya untuk meminta maaf dan mengakui kesilapan.
“Siapa yang tak sedih apabila perkara sebegini boleh berlaku. Saya memang senada dengan Hans.
“Apa yang dia rasa, saya pun sama seperti itu. Tapi semua sudah selesai. Saya hormat dengan tindakan berani Zizan yang membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Malah, dia juga ada menghubungi saya untuk meminta maaf. Saya terima permohonan tersebut,” kata Eizlan melapor mStar Online.
Sementara itu, Eizlan memberitahu amat kagum dengan tindakan Hans dilihat mempertahankan diri dan rakan-rakan selebriti lain yang sama membawa gelaran ‘Datuk’.
Pelakon yang popular menerusi filem Impak Maksima ini berharap pada masa akan datang tiada lagi pihak yang mempertikaikan institusi diraja.
“Saya berbangga Hans yang mengambil tindakan terdahulu mempertahankan diri dan juga rakan-rakan selebriti yang lain.
“Saya harap selepas ini seluruh rakyat Malaysia tidak lagi mempertikaikan institusi diraja kerana ia adalah lambang kedaulatan negara dan perpaduan masyarakat Malaysia.
“Apabila diberi gelaran Datuk, ia menjadi tanggungjawab kami memegang amanah yang diberi oleh institusi tersebut,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura