KUALA LUMPUR – Bagi peminat filem Hollywood, pastinya anda tahu tentang filem cereka ‘A-Team’ yang dianggotai pasukan elit tentera Amerika Syarikat.
Namun berapa ramaikah antara kita yang mengetahui atau setidak-tidaknya pernah mendengar tentang pasukan elit buatan Malaysia – F Team?
Hakikatnya, carian Internet mendapati kewujudan F Team hanya didedahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Disember 2016 iaitu lebih 45 tahun selepas penubuhannya pada Mac 1971 dan beroperasi secara sulit selama 24 tahun sebelum dibubarkan pada 1995.
Berpegang pada moto ‘Hanya Yang Berani’, tugasnya hanya satu – menangani unsur-unsur subversif komunis – dan di sinilah terletaknya keunikan pasukan F Team berbanding pasukan elit lain PDRM, iaitu keanggotaannya turut merangkumi bekas komunis, sekali gus menjadikannya senjata paling ampuh dalam menghapskan pengaruh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara.
“Daripada musuh kepada sahabat sejati.” Itulah penjelasan ringkas seorang bekas anggotanya mengenai F Team kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Berkongsi pengalamannya dalam pasukan itu, Kamaruddin Hashim, 68 yang juga anggota asal F Team, berkata antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah kehilangan sahabat baik yang dianggap sebagai adik, bekas anggota komunis bernama Ah Hon.
Kamaruddin yang dikenali sebagai Kenny dalam pasukan itu, berkata Ah Hon yang digelar ‘Batman’ oleh anggota pasukan, gugur di pangkuannya semasa bertempur dengan komunis dalam Operasi Tapah.
“Kata-kata terakhirnya ‘Tolong tengokkan anak saya Bos’, masih terngiang-ngiang di telinga saya walaupun peristiwa itu berlaku 39 tahun lalu,” katanya sebak.
Bagaimanapun kata Kamaruddin, beliau tidak dapat menunaikan amanah Ah Hon kerana isteri mendiang membawa anak lelaki mereka yang berusia setahun ketika itu kembali ke kampungnya dan hilang tanpa dapat dikesan.
Menurut Kamaruddin, beliau mengenali Ah Hon di sebuah hutan di Pahang semasa lelaki itu masih menjadi anggota komunis dan bertanggungjawab mengambil surat yang ditinggalkan pasukan gerakan bawah tanah di sebatang pokok jejawi yang dijadikan ‘dead letter box’ (peti surat mati komunis).
“Ketika Batman sedang mengambil surat itu, saya yang bersembunyi di atas pokok jejawi setinggi lima meter tersebut terus melompat ke atas badannya untuk menahan dan membawanya ke markas,” katanya.
Bermula dari situ, Ah Hon bekerjasama dengan F Team bagi menjayakan beberapa operasi menentang ancaman komunis melibatkan risikan dan penyamaran sehinggalah kematiannya kira-kira dua tahun kemudian pada usia 25 tahun.
Menceritakan peristiwa yang mengorbankan Ah Hon, Kamaruddin berkata kejadian berlaku pada 3 Okt 1978 ketika mereka ditugaskan memintas penghantaran makanan untuk Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) di sebuah hutan di Tapah, Perak.
“Tarikh keramat itu tidak akan saya lupakan apabila Batman yang telah saya anggap sebagai adik, mati ditembak dirusuk kanannya sebanyak tiga das ketika cuba menghalang seorang pengganas komunis daripada menghampiri van yang dinaiki kami,” katanya.
Menurutnya beliau bersama dua lagi anggota F Team terpaksa bertempur lebih 30 minit menentang sembilan pengganas komunis.
Dalam insiden itu Ketua AWF Ke-10 yang juga Ketua Unit Penggempur Kelima Parti Komunis Malaya dikenali sebagai Monte berjaya ditangkap dan isterinya yang juga pengganas komunis mati ditembak.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka Khamis lalu, kisah pertempuran itu dipertontonkan kepada umum termasuk 92 daripada 164 anggota asal F Team yang menjadi tetamu kehormat, menerusi persembahan pantomin selama lapan minit oleh PDRM.
Persembahan itu bukan hanya mencuri tumpuan orang ramai tetapi turut menyebabkan segelintir penonton menitiskan air mata.
Menurut portal rasmi PDRM, antara operasi mega F Team yang sering disebut-sebut sehingga kini ialah Operasi Kelong (1976), Operasi Kelah (1982) dan Operasi Taloong (1988). – BERNAMA