TAWAU – Golongan muda direkodkan antara golongan besar yang muflis di daerah ini, kata Ketua Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) Tawau, Mohaidy Tabin.
Katanya, golongan itu direkodkan muflis ekoran iklim ekonomi, kegagalan merancang kewangan serta menjadi penjamin kepada peminjam sekali gus menyumbang kepada peningkatan sehingga 15 peratus tahap muflis tahun lalu.
“Sehingga semalam seramai 2131 orang telah diisytihar muflis di daerah ini dan daripada jumlah itu 206 orang direkodkan muflis dari Januari sehingga semalam.
“Kita akan mempertingkat penerangan mengenai tahap kebankrapan khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya selepas memberi Taklimat Penerangan Pasca Rang Undang-Undang Kebankrapan (pindaan) 2016.
Dalam pada itu mengenai jelajah taklimat rang undang-undang kebankrapan (pindaan) 2016 beliau berkata lapan perubahan dasar telah dibuat kepada akta sedia ada.
Antaranya perlindungan penjamin sosial, petisyen kebankrapan disampaikan secara kediri, mekanisme penyelamat, nilai minimum kebankrapan dinaikkan, pelepasan automatik, sistem satu perintah kebankrapan dan tabung bantuan insolvensi. – BERNAMA