KUALA LUMPUR – Golongan petani di negara ini perlu menggunakan segala peluang dan kemudahan yang diberi kerajaan untuk muncul sebagai usahawan berjaya termasuk melalui pengkomersialan produk mereka.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata ada segelintir golongan petani yang mengambil mudah soal mengusahakan aktiviti pertanian yang diceburi di sebalik pelbagai bantuan dan latihan yang diberi kerajaan.
“Kami mahu golongan ini bukan setakat menjadi petani sahaja malah menjadi usahawan berjaya dan boleh mengkomersialkan produk pertanian mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Agrobank di sini hari ini.
Tajuddin menekankan pentingnya golongan petani Bumiputera meningkatkan penglibatan dalam aktiviti pertanian berskala besar.
Timbalan menteri itu seterusnya berkata pihak berkenaan termasuk institusi kewangan perlu memainkan peranan dalam menawarkan bantuan kepada golongan petani. – BERNAMA