JEDDAH – Anda di tanah air kini boleh ‘menjejaki’ pergerakan anggota keluarga, yang sedang berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah fardu haji, pada bila-bila masa.
Ini boleh dilakukan menerusi satu aplikasi unik dikenali sebagai Hajj App, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 Ogos lalu oleh sebuah agensi berita Timur Tengah terkenal, Arab News.
Dengan fungsi ‘jejak jemaah’, aplikasi Hajj App membolehkan pengguna berkongsi maklumat lokasi mereka dan mengesan keluarga tersayang, yang sedang menunaikan ibadah haji, berdasarkan masa nyata sepanjang waktu.
Ini bermakna anda di luar negara boleh memantau lokasi keluarga dan rakan-rakan di mana jua anda berada. Aplikasi secara percuma itu malah boleh dimuat turun menerusi perisian App Store dan Google Play.
Ia menyediakan pelbagai ciri berguna yang boleh dimanfaatkan oleh jemaah dan juga keluarga mereka di tanah air masing-masing. Aplikasi itu ditaja dan disokong Liga Muslim Sedunia (MWL) yang berpangkalan di Makkah.
Ini sebagai sebahagian daripada usaha global untuk memperkukuh kedudukan pertubuhan dakwah antarabangsa itu sebagai badan yang berkhidmat kepada semua umat Islam, lapor Arab News.
Hajj App juga menawarkan pelbagai fungsi yang boleh digunakan semasa musim haji, termasuk berita terkini setempat dan luar negara dipetik eksklusif dari laman Arab News dan khidmat siaran langsung.
Selain itu, ia turut menyediakan maklumat-maklumat penting keselamatan seperti nombor talian kecemasan dan senarai semua pejabat kedutaan dan penyedia khidmat pada musim haji kali ini.
Pelancaran aplikasi itu dibuat sebagai sebahagian daripada perubahan Arab News kepada dunia digital dan juga sebagai sebahagian daripada usaha agensi itu untuk menyediakan liputan menyeluruh mengenai ibadah haji.
Mengulas pelancaran Hajj App, Ketua Editor Arab News, Faisal J. Abbas, berkata aplikasi itu melengkapi liputan agensi berita tersebut mengenai haji dan beliau mengucapkan terima kasih kepada MWL atas sokongan diberi.
“Kerjasama Arab News dan MWL ini adalah contoh ideal serta praktikal bagaimana sesebuah agensi media boleh berkerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah demi maslahat umum,” kata beliau.
“Aplikasi ini adalah sebahagian daripada perubahan Arab News ke arah digital dan menyediakan nilai tambah buat pembaca dan jemaah yang fasih berbahasa Inggeris,” tambah Faisal. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA