TAIPING – Lebih 196 kilogram dadah pelbagai jenis termasuk daun ketum bernilai lebih RM7.7 juta dimusnahkan pada program pelupusan eksibit dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Perlucuthakan Harta Jabatan Siasiatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, ACP Raja Zahudeen Raja Toran berkata dadah terlibat termasuk heroin seberat 24.9 kg; ganja (15 kg); syabu (27.1kg); ketamin (2.3kg); Ecstacy/Yaba (37.50 gram); daun ketum (123.9kg) selain ubat batuk sebanyak 39.6 liter serta air ketum 164.92 liter.
Dadah yang dilupuskan itu membabitkan 3,630 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan sejak 2008 di 15 daerah di Perak iaitu Ipoh,Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah.
Beliau memberitahu sidang media pada program pelupusan eksibit dadah JSJN Perak di sini, hari ini sebanyak 5,573 orang telah dikenakan tindakan sejak Januari hingga Ogos tahun ini di bawah tindakan pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6B akta yang sama.
“Berdasarkan sasaran KPI (Petunjuk Prestasi Utama) , JSJN Perak telah mencapai sasaran iaitu sebanyak 105 peratus bagi kategori bekalan,” katanya.
Selain itu, Raja Zahudeen berkata seramai 3,813 orang telah dikenakan tindakan sejak Januari hingga Ogos tahun ini bagi pembanterasan ke arah pengurangan permintaan memiliki dadah iaitu tindakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 9, Seksyen 6 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 9 Akta Racun 1952.
“Berdasarkan sasaran KPI, JSJN Perak telah mencapai sasaran sebanyak 103 peratus bagi kategori memiliki,” katanya.
Tambah Raja Zahudeen sebanyak 5,821 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,780 kertas siasatan telah dituduh iaitu dengan sasaran KPI sebanyak 55 peratus. – BERNAMA