KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia khususnya golongan muda perlu memahami sejarah dan menghayati perjuangan tokoh sejarah negara, Mat Kilau agar dapat membina semangat patriotisme terhadap negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (Integriti), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata sifat juang pahlawan negara itu yang mempunyai nilai integriti seperti tanggungjawab, taat setia dan keikhlasan merupakan asas utama yang harus diteladani generasi muda dalam perjuangan mempertahankan tanah air.
“Prinsip Mat Kilau yang tidak tunduk pada kuasa asing pada zaman pemerintahan British seharusnya menjadi ikutan generasi muda untuk lebih cintakan negara.
“Sifat Mat Kilau yang jujur, setia pada perjuangan dan tegas menjadikan beliau sangat disegani dan dikasihi pengikutnya,” katanya pada program Integriti Dalam Sejarah dan pelancaran dokumentari Jejak Mat Kilau di sini hari ini.
Beliau berkata kegagalan memahami sejarah boleh membawa kepada kegagalan untuk merancang serta menentukan hala tuju negara.
Tayangan dokumentari berdurasi 30 minit itu diadakan bersempena Hari Malaysia yang akan disambut pada Sabtu ini (16 Sept) agar rakyat memahami secara mendalam mengenai integriti dan pembentukan nilai jati diri melalui pengkisahan sejarah pahlawan silam.
Dokumentari itu membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.
Pada majlis itu turut diadakan sesi dialog bertajuk Mat Kilau: Penentang atau Pejuang, Perspektif Integriti bagi membincangkan kepentingan sejarah dan nilai integriti tokoh sejarah berkenaan.
Dialog itu juga turut membincangkan kaedah atau pendekatan yang paling berkesan untuk mempersembahkan peninggalan sejarah dengan cara yang lebih menarik kepada masyarakat.
Barisan panel forum berkenaan adalah Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Ketua Program Sejarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr Mohd Samsudi dan Setiausaha Persatuan Sejarah Terengganu (Delegasi Konservasi Kubu Mat Kilau), Mohd Rosli Wan Ngah. – BERNAMA