KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan perkembangan perolehan dua kapal misi pesisir (LMS) yang sedang dibina oleh CSOC dan Boustead Naval Shipyard di China.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia dijangka menerima LMS yang berupaya memenuhi keperluan semasa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pertama pada Oktober 2019.
“Pembinaan dua LMS ini berada di landasan yang betul serta mengikut jadual yang ditetapkan. InsyaAllah kita akan memperoleh LMS pertama dari dua LMS ini pada bulan Oktober 2019.
“Manakala dua LMS lagi akan dibina di Malaysia selepas itu. Ini memperlihatkan kerjasama erat antara dua negara (Malaysia dan China) yang akan terus diperkukuh meliputi pelbagai aspek kerjasama termasuk keselamatan, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan hari ini.
Hishammuddin berada di China dalam rangka lawatan kerja perbincangan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China khususnya dalam bidang ketenteraan dan pertahanan.
Lawatan kerja tiga hari itu bermula semalam dengan mesyuarat bersama Secretary of the Central Political & Legal Affairs Commission of the Communist Party of China, HE Meng Jianzhu dan kemudiannya bersama State Councilor of the People’s Republic of China, HE Yang Jiechi.
Manakala pada malam ini beliau dijadual bertemu rakan sejawat iaitu TYT Jeneral Chang Wanquan.
Pelbagai perkara dibincangkan dalam mencakupi isu-isu keselamatan serantau, ancaman-ancaman keganasan yang dihadapi kini khususnya gerakan militan Daesh selain kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan China.
LMS merupakan sebuah kapal ketenteraan yang direka khas untuk tentera laut Malaysia melaksanakan operasi menghadapi ancaman semasa seperti rompakan di laut, pelanunan, aktiviti jenayah rentas sempadan dan kumpulan militan.
“Saya yakin hubungan erat yang sedia terjalin antara Malaysia dan China sejak sekian lama akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa yang ternyata membawa pelbagai manfaat kepada kedua-dua negara dan serantau.
“Saya konsisten menyatakan bahawa tidak ada satu negarapun di dunia ini yang mampu bertindak bersendirian untuk berhadapan dengan ancaman keselamatan hari ini yang semakin kompleks,” katanya. – MYNEWSHUB.CC