SIRI Busking4Somalia diteruskan di lokasi kedua Sabtu ini dengan tema menyeru rakyat Malaysia untuk terus menderma bagi menjayakan pembinaan dua perigi bekalan air bersih di Mogadishu.
Projek Dana Waqaf Perigi Somalia ini dilancarkan Islamic Relief Malaysia (IRM) pada Jun lalu di TV AlHijrah dan kini melalui frasa kesedaran awam melalui platform muzik jalanan.
IRM bekerjasama dengan busker terkenal, Syed Amran al Yahya dalam merealisasikan kempen jalanan di bandar-bandar utama tanahair. Siri ini bermula di Sogo KL Sabtu lalu.
Sabtu ini, 16 September, dalam kemeriahan menyambut Hari Malaysia, pekarangan Laman Selera Tesco Shah Alam akan berkumandang lagu-lagu kemanusiaan serta sesi penerangan khas mengenai projek menyediakan bekalan air bersih di Mogadishu, Somalia.
Somalia terbabit dalam krisis perang saudara sejak 30 tahun lalu dan kini terjejas teruk akibat bencana kemarau ekuinoks.
Selain menangani isu wabak taun yang menular melalui bekalan air yang tercemar, projek Dana Waqaf Air Somalia juga bertanggungjawab menyediakan bekalan air bersih ke hospital, sekolah dan kegunaan pertanian.
Menurut CEO IRM, setelah lebih sepuluh tahun membangunkan pelbagai program kemanusiaan di Somalia dalam bidang bantuan makanan, pendidikan dan perubatan, kini isu bekalan air bersih menjadi fokus utama.
“Setitis air penyambung nyawa penduduk miskin Somalia. Dua buah telaga bererti kemakmuran masa kini dan masa hadapan menjadi lebih terancang apabila akses air bersih lebih meluas,” katanya.
Manakala Syed Amran berkata, dia akan menyanyikan lagu-lagu bertema kemanusiaan sepanjang persembahan tersebut. Terdapat senarai lagu yang dikhaskan untuk kempen Busking4Somalia, termasuk lagu tema berjudul Rindu Salma.
“Selain itu, lagu-lagu kemanusiaan seperti Syair Eslami, Ya Sara, Isandra Palestina, Bukan Kerana Nama, Kamelia dan Pelarian berada dalam senarai persembahan,” kata Syed Amran.
Busker girl terkenal, Effa Zappa akan turut bersama merancakkan irama jalanan khas untuk projek Busking4Somalia ini. – MYNEWSHUB.CC