APABILA Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan ASEAN bukan lagi platform relevan dalam menyelesaikan konflik di Rakhine, Myanmar – timbul persoalan: Apa dah jadi dengan semangat Komuniti Asean?
Komuniti ASEAN kini memiliki 600 juta penduduk. Satu saiz kuasa pasaran ekonomi yang strategik terutama bagi produk pengguna. ASEAN nampaknya hanya berdaya ekonomi dan penting dalam konteks pembangunan material. Lebih daripada itu – ASEAN tidak relevan!
Anifah ada menyebut untuk merujuk kes Myanmar ke OIC, platform yang dianggotai 57 Negara Islam dan lima negara pemerhati yang ditubuhkan sejak 1956.
Namun realistiknya, sejak dua dekad lalu, OIC hanya bahan ketawa. OIC tidak efisyen, malah hanya wujud sebagai sekadar ada sahaja. Rujuk saja, jenaka O I See. Ia satu bukti bersifat konotatif, mengenai betapa teruknya tahap jenaka terhadap OIC.
Semasa Syed Hamid Albar menjadi Duta Khas OIC dalam isu Myanmar, bekas Menteri Luar ini sudah menjelaskan, tiada tempat bagi isu Rohingya di OIC.
Malah, siapa sahaja yang celik sejarah dan faham realiti OIC, akan menasihatkan Anifah: “Jangan cakap perkara yang tidak munasabah. OIC sekarang hanya sampah!”
Kalau Anifah mahu kenyataannya semalam relevan, harapannya kini terarah pada PBB. Kalau Anifah kecewa kerana Singapura, Vietnam, Laos dan Kemboja sebagai komumiti ASEAN yang tidak berminat dalam isu Rohingya, langkah tepat ialah segera mengadakan pakatan berasingan dengan Indonesia dan Brunei.
Paling tidak atas semangat Islam. Tiga wakil ASEAN ini wajar sepakat untuk menyertai usul yang akan dibawa Turki di PBB hujung September ini.
Anifah mungkin boleh mencuba untuk mendapatkan sokongan Bangkok, kalau Thailand juga terasa bahang Rohingya turut menyerap ke sempadan negara itu dengan penyusupan pelarian.
Tetapi sekiranya Thailand enggan kerana memihak pada pelampau Buddha di Myanmar, Anifah elok memberi fokus untuk mengadakan pakatan Indonesia dan Brunei sahaja.
Harapan rakyat pada Anifah besar. Umat Islam dan pecinta keamanan di negara ini, menanti peranan luar biasa Anifah dalam menyusun pelan tindakan di platform antarabangsa. Rakyat mahu tindakan Anifah setara dengan nada kemarahan Malaysia berhubung krisis Rakhine.
Dunia hampir sepakat menyifatkan tindakan Kerajaan Myanmar dan pelampau Buddha terhadap minoriti Muslim Rohingya ialah isu penghapusan etnik.
Justeru, Anifah perlu faham: Peranan selaku Menteri Luar dalam isu Rohingya ada impak terhadap pilihanraya.
Sekiranya Anifah tidak bijak, rakyat akan beranggapan kerajaan tidak memainkan peranan relevan dalam menangani isu ummah di peringkat global.
Anifah harus menerima isyarat jelas: Dia kini fokus rakyat dalam menilai dasar dan kesungguhan kerajaan menangani isu ummah.
Malaysia melalui episod cemerlang dalam era menentang Rejim Apartheid di Afrika Selatan dan isu penghapusan etnik dalam krisis di Bosnia. Malah, kewujudan Kosovo sebagai negara merdeka juga hasil usaha dan dasar luar Malaysia yang prolifik dan vokal mengenai isu-isu keamanan dan keadilan sejagat.
Anifah tidak perlu menanti. Semalam adalah hari pertama Anifah patut menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dan Turki bagi memastikan Malaysia memainkan peranan dalam gabungan suara negara-negara Islam di PBB hujung September ini.
Anifah harus memulakan langkah! – MYNEWSHUB.CC