PADANG BESAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) sedang meyusun atur sistem penarafan bintang sebagai penilaian tahap kualiti maahad tahfiz di negeri ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penarafan bintang itu akan menjadi ‘kayu pengukur’ bagi menilai kepatuhan maahad tahfiz terhadap standard dan kualiti yang telah ditentukan.
“Beta berharap agar maahad tahfiz di Perlis akan menjadi contoh kepada maahad tahfiz yang lain sama ada dari aspek pengurusan, tadbir urus dan kurikulum yang cemerlang, kebolehpasaran pelajar serta persekitaran yang kondusif,” titahnya pada program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Bilangan 54/2017 di Madrasah Miftahul Hidayah Beseri dekat sini malam tadi.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah semua maahad tahfiz di negeri ini adalah tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Perlis 1988.
“Jabatan Mufti Negeri Perlis juga sentiasa proaktif memberikan pandangan dan saranan ke arah memastikan pegangan dan dasar maahad tahfiz di negeri ini seiring dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titahnya.
Menurut baginda, MAIPs pula bersedia memberikan bantuan seperti geran tahunan di bawah peruntukan ‘asnaf fisabilillah’ sebanyak RM4,785,000 kepada Institusi Pendidikan Islam termasuk maahad tahfiz yang berdaftar dengan pihak JAIPs.
Titah Raja Muda, Institusi Pendidikan Tahfiz Al-Quran merupakan sebuah institusi yang signifikan kepada pengajaran dan pembelajaran berteraskan agama, justeru, kemuliaan pendidikan itu sewajarnya diangkat seiring dengan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan pendidikan.
“Pada masa yang sama, masyarakat seharusnya menyanjung tinggi segala bentuk usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak sama ada kerajaan, pertubuhan mahu pun individu atau orang perseorangan dalam merealisasikan niat dan hasrat murni ke arah kewujudan sebuah maahad tahfiz yang berjaya,” titahnya.
Bagaimanapun, tambah baginda, niat dan hasrat murni itu perlulah selari dengan pengurusan yang profesional, terancang, selamat dan kondusif untuk pelajar supaya hasil daripada pengajaran di maahad tahfiz ini berhasil seperti yang dicita-citakan.
“Aspek keseimbangan dalam penyediaan kurikulum, infrastruktur dan prasarana hendaklah dititikberatkan supaya kebajikan pelajar terbela. Beta berharap tiada lagi peristiwa duka berlaku di sebahagian maahad tahfiz seperti kes pembulian, khianat, penipuan, penyelewengan dan pergaduhan bahkan kecuaian sehingga meragut nyawa insan tak berdosa,” tegas baginda.
Dalam pada itu, titah baginda, para pelajar dan warga maahad tahfiz perlulah diberi latihan dalam menghadapi saat-saat getir seperti kebakaran, bencana banjir, ribut dan lain-lain situasi kecemasan. – Bernama