SETIAP kali hujan turun, biasanya ramai akan bergegas lari lintang-pukang mencari tempat yang boleh berteduh. Sebabnya? Mungkin ada urusan penting dan tidak mahu pakaian kelihatan basah.
Mungkin juga kerana kita sudah biasa dibebel ibu dengan ayat leteran: “Jangan main hujan, nanti deman!” Namun, sejauh manakah bebelan orang tua zaman dulu itu memang betul atau relevan?
Menurut laporan laman sesawang boldsky.com, air hujan sebenarnya adalah air yang bersih dan tidak pun tercemar kerana ia tidak pernah bersentuhan dengan tanah, atau unsur permukaan lain.
Malahan ramai orang khasnya di kawasan pedalaman atau pasukan pengakap di hutan segera menadah air hujan untuk dibuat sebagai bekalan mandi atau stok air minuman mentah.
Satu kajian mendapati bahawa udara ketika proses hujan adalah lebih sihat kerana ia bersih dan segar. Ini kerana hujan membersihkan segala debu dan bahan tercemar di ruang udara.
Air hujan juga boleh diminum asalkan ia ditampung dalam bekas yang bersih dan dimasak terlebih dahulu. Kelembapan udara ketika hujan juga amat baik untuk kesihatan kulit, lapor laman itu lagi.
Adakah anda antara segelintir orang yang gemar bau hujan? Ternyata, aroma hujan itu memiliki kesan yang menenangkan! Ia disebabkan beberapa bahan kimia dalam tanah yang segera dilepaskan sebaik saja hujan turun.
Para pakar perubatan bahkan percaya bahawa air hujan boleh memberikan kesan ‘detox‘ atau nyah racun pada tubuh badan, sekali gus meningkatkan kesihatan pencernaan dan mengimbangi paras pH dalam darah.
Kelebihan air hujan turut diakui dalam bidang perubatan sejak dari zaman kuno lagi. Dipercayai, tiga sudu makan air hujan yang diminum setiap pagi sebenarnya amat baik untuk kesihatan diri.
Ini kerana kandungan asid dalam tubuh boleh menjadi ‘neutral‘ dan mengurangkan ketidakselesaan. Mungkin selepas ini anda boleh cuba mencuci rambut dengan hanya menggunakan air hujan.
Menurut laporan laman boldsky.com, ia dapat mencantikkan rambut. Bukan itu saja, kulit wajah yang dibasuh menggunakan air sejuk dikatakan lebih anjal, bersih dan bercahaya!
Paling menarik, tahukah anda bahawa fikiran akan lebih tenang dan tubuh badan menjadi lebih ‘releks’ jika anda menari-nari dalam hujan selama lima minit sahaja?
Jadi jika sebelum ini anda pernah teringin untuk bermain hujan, mungkin inilah peluang anda. Ternyata, banyak manfaat air hujan untuk kesejahteraan tubuh manusia.
Sekalipun begitu, jangan terlalu lama bermandi hujan kerana apabila tubuh badan kedinginan, anda boleh diserang selesema pula. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA