ALOR SETAR – Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyemak semula syarat yang perlu dipenuhi sekolah pondok dan pusat tahfiz di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 di Kedah.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Datuk Abdul Rahman Ismail berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan mahu pihak sekolah memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk pemeriksaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum diberi kebenaran untuk beroperasi.
“Kejadian kebakaran di pusat tahfiz sebelum ini menyebabkan semua orang buka mata dan perlunya kita melihat balik mana-mana sekolah sedia ada yang berdaftar dan yang baharu ingin berdaftar untuk penuhi syarat ini termasuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan di sekolah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Taklimat Keselamatan Kepada Pentadbir Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan Pondok Berdaftar Kedah oleh JBPM di sini, hari ini.
Selain itu, katanya jawatankuasa itu juga akan menyelaraskan semula kurikulum yang diajar di semua sekolah agama dan pusat tahfiz bagi memastikan pelajarnya mempunyai sijil yang diiktiraf bagi menjamin masa depan pelajar selepas menamatkan pengajian.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata pihaknya akan mengadakan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan mengutip derma secara haram menggunakan agama yang berleluasa di negeri ini.
Katanya operasi bersepadu itu akan dijalankan bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengenal pasti pengutip derma yang tidak mempunyai kebenaran dan oleh warga asing untuk diambil tindakan.
“Setiap kutipan derma perlu mendapat kebenaran dari JHEAIK supaya tidak ada kutipan derma secara haram yang mengambil kesempatan kepada orang ramai yang simpati kepada mereka. Kami akan ambil tindakan tegas,” katanya. – BERNAMA