PENYANYI sensasi antarabangsa kelahiran Kanada, Justin Bieber baru-baru ini mencipta rekod tersendiri apabila pengikutnya melalui akaun Twitter berjaya mencecah 100 juta.
Angka terbaharu itu menjadikan Justin sebagai individu yang kedua dengan jumlah pengikut terbanyak menerusi laman sosial popular tersebut selepas penyanyi wanita popular Amerika Syarikat (AS), Katy Perry dengan 103 juta.
Berada di tempat ketiga pada ketika ini ialah seorang lagi penyanyi terkenal dari AS iaitu Taylor Swift dengan 85.5 juta manakala Rihanna pula unggul di kedudukan keempat dengan hanya 76.9 juta.
Pihak Twitter turut memuat naik mesej ucapan tahniah istimewa kepada Justin, 23, atas pencapaian luar biasa tersebut dengan mereka hashtag khas iaitu #100MBeliebers selain mewujudkan emoji khas untuk Justin.
Twitter turut mengeluarkan beberapa fakta menarik tentang penyanyi lagu Sorry itu sejak dia menyertai Twitter pada Mac 2009. Antara fakta menarik adalah perkataan Belieber telah diulang kicau sebanyak 84 juta kali.
Justin yang dilarang masuk ke China pada Julai lalu atas alasan pengaruh muziknya, sebenarnya mula aktif sebagai penghibur sejak 2008, sebelum dikenali ramai menerusi pelbagai lagu popular genre pop dan R&B.
Dalam pada itu, bekas teman wanita Justin iaitu penyanyi Selena Gomez ketika ini memegang status sebagai individu paling banyak pengikut menerusi Instagram dengan 126 juta. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA