“ITU bukan kali pertama saya dimaki orang awam… lebih teruk daripada itu pun pernah ada, ” kata pegawai penguat kuasa (Unit Apit) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Nor Safuan Nordin.
Beliau malah kelihatan seronok apabila berkongsi kisah pengalaman pahit sepanjang bertugas, termasuk insiden ketenangannya ketika berdepan dengan cacian seorang wanita tersebar luas menerusi media sosial, minggu lalu.
Hampir 10 tahun berkhidmat dengan MPSJ, beliau mengakui kerap berdepan pelbagai bentuk kerenah orang ramai sama ada yang berbentuk provokasi atau sekadar cacian, namun semuanya diterima dengan penuh sabar.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja yang memaki dan melemparkan kata-kata kesat kepada penguat kuasa seperti kami, malah rakaman yang viral (tular) itu bukan kali pertama saya pernah dimaki orang awam.
“Ada pengalaman yang lebih teruk daripada itu sebelum itu, bahkan sudah jadi ‘makanan harian’ kami. Namun, kami dilatih untuk bersikap profesional dan tenang apabila menerima provokasi ketika bertugas,” kata Nor Safuan.
Beliau serta beberapa anggota ditemui pemberita selepas menerima sijil penghargaan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh, dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali, di sini, hari ini.
Baca: Wanita Marah MPSJ Guna Pengunci Stereng Disiasat
Dalam kejadian jam 1 tengah hari pada Rabu minggu lalu, seorang wanita Cina dirakam memarahi dan mengacukan besi pengunci stereng kereta kepada Nor Safuan, 31, berikutan tidak berpuas hati selepas tayar keretanya dikunci.
Tindakan itu diambil selepas wanita terbabit dipercayai meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan di Jalan Puteri, Bandar Puteri Puchong, dekat sini kononnya mahu membeli makanan dan dibawa balik untuk suaminya.
Mengulas lanjut Nor Safuan berkata, anggota penguat kuasa tempatan memang dilatih untuk sentiasa bersedia dan bertindak profesional dalam memberi penerangan kepada orang awam berhubung kesalahan yang dilakukan.
“Kami faham perasaan mereka apabila tayar kenderaan tiba-tiba dikapit. Sudah tentu mereka menjadi emosi dan berasa tidak puas hati lalu bertindak melepaskan kemarahan kepada anggota bertugas pula dengan cara memaki.
“Sebagai penguat kuasa, kami hanya menjalankan tugas dan ia akan terus dilakukan secara profesional,” katanya. Insiden tersebut kini disiasat oleh pihak polis atas sebab ancaman jenayah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA