HONG KONG – Polis menempatkan rama anggota termasuk dari pasukan antikeganasan di konsert penyanyi Amerika Syarikat, Ariana Grande yang akan berlangsung di sini pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.
Kawalan keselamatan dipertingkatkan susulan kejadian pengebom bunuh diri menyerang konsert bintang pop itu di Manchester, Britain, empat bulan lepas menyebabkan lebih 20 orang mati dan 150 lagi cedera.
Menurut laporan, belum pernah berlaku kawalan keselamatan ketat seperti itu di Hong Kong untuk sebuah konsert muzik secara langsung.
“Semua penonton akan diperiksa menggunakan alat pengesan logam sebelum dibenarkan memasuki dewan,” kata penganjur konsert Live Nation menerusi laman webnya.
Menjelang konsert, polis Hong Kong menjalankan dua latihan antikeganasan, masing-masing di Stadium Hong Kong dan di Dewan Bandar Raya.
Menurut akhbar harian South China Morning Post, tahap ancaman keganasan di seluruh Hong Kong kekal “sederhana” dan pihak risikan tidak menyatakan bahawa konsert itu akan dijadikan sasaran. – BERNAMA