NAIROBI – Kebakaran asrama Sekolah Tinggi Perempuan Moi di sini pada Sabtu lepas yang mengorbankan sembilan murid dipercayai berpunca daripada perbuatan disengajakan.
Setiausaha Kabinet (Menteri) Pendidikan, Dr. Fred Matiang’iIa berkata, pada awalnya kejadian didakwa disebabkan perbuatan seorang pelajar asrama berdasarkan maklumat diberikan beberapa pelajar lain.
Namun hasil siasatan awal mendapati ia berpunca daripada perbuatan disengajakan selepas pakar dari Jabatan Bomba, Kenya Power dan polis melawat semula lokasi kejadian.
Sebelum ini, Matiang’i berkata, mereka yang didapati bersalah melanggar garis panduan keselamatan akan didakwa.
Sementara itu, Hospital Wanita Nairobi mengesahkan dua daripada 10 pelajar yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan kritikal.
Pengurusan hospital juga mengesahkan menerima 50 pelajar cedera, 40 daripadanya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan akibat cedera ringan.
Ketua eksekutif hospital, Felix Wanjala berkata tujuh pelajar yang mengalami lecur superfesial berada di bawah pemerhatian selama 24 jam untuk memastikan tiada sebarang komplikasi pernafasan dan dibenarkan keluar jika keadaan stabil.
Timbalan Pengarah Unit Bencana Nasional Pius Masaai berkata, ujian DNA sedang dilakukan bagi membolehkan ibu bapa menuntut mayat anak masing-masing.
Sekolah itu akan ditutup selama dua minggu memandangkan siasatan masih diteruskan. – BERNAMA