KUALA LUMPUR – Unit Forensik Bukit Aman hari melakukan pengimejan tiga dimensi (3D) di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah susulan kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa pada Khamis lepas.
Lebih 10 anggota dan pegawai Forensik Bukit Aman tiba di pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung di sini kira-kira 9.40 pagi bagi mendapatkan bukti berhubung kejadian tragik tersebut.
Tinjauan Bernama mendapati pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melakukan pemeriksaan di sekitar pagar belakang pusat tahfiz itu bagi mendapatkan kesan cap jari suspek terbabit.
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz berkenaan terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu dalam tragedi 5.15 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh baru-baru ini mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.
Pada Selasa lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Udara PDRM menggunakan teknologi dron untuk mendapatkan imej pandangan dari udara sekitar bangunan pusat tahfiz yang terbakar itu.
Pasukan berkenaan yang tiba bersama-sama dengan pasukan dari Jabatan Forensik Bukit Aman tiba kira-kira pukul 10.30 pagi untuk mendapatkan bahan bukti berhubung kejadian kebakaran tersebut.
Tinjauan mendapati lebih 15 pegawai dan anggota berada di lokasi kejadian bagi tujuan tersebut sehingga menarik perhatian pengunjung yang menziarahi pusat tahfiz berkenaan. – BERNAMA