SUNGAI PETANI – Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat sekiranya kerajaan sedia ada dikekalkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, fasa transformasi yang dilalui negara ini selepas zaman kemerdekaan jelas memperlihatkan betapa kerajaan serius mengisi perjuangan kemerdekaan itu dengan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan melalui pelbagai agensi di bawah KKLW misalnya.
Misalnya melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA, pembangunan kawasan luar bandar katanya dapat disusun dengan lebih teratur sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
Beliau berkata demikian pada program ‘Moh Ngeteh Merdeka KKLW 2017’ di Institut Kemahiran Mara dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf dan kira-kira 2,000 pelajar IKM.
Ismail Sabri berkata, perkara itu dapat dibuktikan sendiri apabila kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion untuk membiayai pelajar tempatan dan luar negara di bawah Mara setiap tahun, selain sudah ada lima juta pelajar lepasan Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kemas sejak ia ditubuhkan sehingga kini.
Dari sudut ekonomi pula, Mara katanya telah melahirkan sejuta usahawan berjaya sehingga kini, FELCRA pula mempunyai 120,000 peserta dan terdapat 265,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung seluruh negara pada masa ini.
“Selain itu kami ada 115,637 pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di bawah Mara dan sebanyak 220,000 pelajar Tabika Kemas tahun ini,” katanya.
Katanya bantuan kerajaan banyak membantu pelajar untuk berjaya dan melanjutkan pengajian sama ada di dalam ataupun luar negara, bukan hanya disebabkan kecerdikan mereka semata-mata.
“Misalnya kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk seorang yang melanjutkan pelajaran bahagian perubatan di England…saya rasa keluarga pun payah juga nak hantar (belajar) kalau jumlah sebanyak ini…tapi kerajaan bantu,” katanya.
Kira-kira satu juta komuniti KKLW dan orang ramai menyertai program ‘Moh Ngeteh Merdeka KKLW 2017’ yang diadakan serentak di 12,246 lokasi di seluruh negara hari ini.
Program itu yang merupakan kemuncak program sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga KKLW dan orang awam agar sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan negarawan terdahulu dalam usaha memerdekakan negara. – BERNAMA