KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia meluluskan pembinaan lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan pertumbuhan baharu, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, pertimbangan itu akan diperhalusi pada mesyuarat antara parti komponen dalam tempoh terdekat.
“Saya akan jadikan permintaan ini kenyataan (membina lebih banyak SJKC di kawasan pertumbuhan baharu).
“Saya jadi shou xiang (Perdana Menteri) hanya untuk tempoh sembilan tahun, tetapi sudah luluskan peruntukan lebih banyak berbanding pemimpin yang menerajui negara selama 22 tahun.
“Satu yang saya minta adalah teguhkan kemahiran penguasaan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan apabila jumlah SJKC ditambah,” katanya ketika menghadiri Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina, di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong.
Najib berkata, prasyarat itu bagi memastikan penguasaan BM dalam kalangan masyarakat Cina tidak ketinggalan, khususnya ketika mengendalikan urusan rasmi.
“Dulu, bila saya jadi Menteri Besar Pahang, ada wakil rakyat dari masyarakat Cina yang tidak mampu menguasai kemahiran bertutur dalam BM.
“Janganlah guna perkataan ‘gua’ dan ‘lu’ dalam urusan rasmi, sehingga tersasul menyebut Ke Bawah ‘Luli’ Tuanku.
“Kemahiran berkomunikasi adalah ramuan perpaduan di Malaysia, justeru sahut saranan ini seiring kesediaan kerajaan menambah pembinaan SJKC,” katanya disahut sorakan lebih 16,000 hadirin di Dewan Tun Razak 1, dekat Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) , di sini.
Menyentuh soal pembangunan negara, Najib berkata, kerajaan sedar mengenai dua kehendak masyarakat Cina, iaitu peluang ekonomi dan pendidikan berkualiti.
Bagaimanapun, katanya, kehendak hanya mampu dipenuhi jika negara berada dalam keadaan yang harmoni dan aman, selain mempunyai kestabilan sistem pemerintahan.
“Oleh itu, suarakan sokongan masyarakat Cina kepada BN untuk kita terus membangun secara bersama, berbanding termakan dengan dakyah pembangkang yang bertali arus mempertikaikan usaha kerajaan.
“Prinsip pembangkang mudah, iaitu jika gagal yakinkan pengundi, mereka akan kelirukan minda anda supaya tidak mampu tentukan pihak mana yang betul dan salah.
“BN adalah kerajaan yang mengamalkan konsep kesederhanaan, progresif dan adil, justeru terjemahkan kepercayaan anda untuk kita maju bersama,” katanya.
Selain itu, Najib turut menyifatkan slogan ‘DAP senang, rakyat senang’ tidak sesuai digunakan parti dominan pakatan pembangkang berkenaan.
Beliau berkata, slogan terbaik adalah ‘DAP menang, rakyat berenang’ ekoran keadaan banjir yang melanda Pulau Pinang ketika ini.
“Kalau boleh belanja RM300 juta untuk pelan utama, kenapa tidak letak peruntukan bagi membina kemudahan mitigasi banjir di negeri pimpinan mereka demi manfaat rakyat,” katanya. – BH Online