WAKIL Pulau Pinang dalam pertandingan Clever Girl Malaysia, Noor Syakirah Mohd Azam (Kiera) yang menarik diri daripada rancangan itu semalam mendedahkan mengapa dia buat keputusan itu.
Memilih laman sosial Instagram sebagai saluran untuk mendedahkan punca penarikan dirinya daripada rancangan realiti itu, Kiera mendakwa pihak produksi Clever Girl sebagai berat sebelah ataupun ‘pilih bulu’.
Dakwa Kiera lagi, dia berasa seperti tertipu dan diperbodohkan apabila mengesyaki terdapat peserta yang konon sudah menerima soalan bocor daripada pihak produksi sendiri!
Menurut Kiera, dia mendakwa berasa terkilan kerana seakan-seakan diperguna hanya kerana dia merupakan graduan universiti paling berprestij dunia iaitu Universiti Oxford.
Salah seorang peserta terbabit dakwa Kiera lagi, dikatakan telah diberikan soalan dan jawapan bocor supaya akan dapat terus kekal di dalam pertandingan tersebut.
Malah, ramai penonton sudah perasan sesuatu yang aneh apabila pengacara, Aliff Satar, belum habis menanyakan soalan namun telah menerima jawapan tepat daripada perserta tersebut!
Menurut dakwaan Kiera, peserta tersebut tidak tahu jalan kerja soalan matematik itu dan tergagap-gagap sewaktu diminta melakukan jalan kerja bagi memahamkan rakan-rakan seperjuangannya.
Selain itu, Kiera turut mendakwa pihak produksi sengaja memberikan peserta itu jawapan betul kerana mahu penonton di rumah berasa ‘sesuatu’ apabila seorang graduan Oxford menjawab soalan dengan salah.
Dakwa Kiera lagi, setiap hari dia menangis apabila memikirkan dirinya seperti dipergunakan oleh pihak produksi untuk kelihatan ‘kurang cerdik’.
Selain itu, pemegang ijazah sarjana muda dalam jurusan Sains Kejuruteraan itu juga menyifatkan tindakan sengaja membocorkan jawapan itu sebagai satu taktik yang kotor dan keji.
Tidak apa lah, dengan bakat kepandaian dan kecantikan Kiera, rasanya lebih baik dia salurkan khidmat kepada karier dan keluarga sahaja.
Lagi pun, semua orang tahu ada peserta Clever Girl tidak begitu ‘cerdik’, jadi dalam hal ini Kiera tidak rugi apa-apa langsung! – MYNEWSHUB.CC