TUARAN – Rakyat Sabah perlu mengikis persepsi bahawa pertanian adalah kerjaya orang bawahan atau miskin kerana pandangan itu sudah tidak lagi relevan memandangkan pertanian kini adalah satu industri yang boleh menjana pendapatan lumayan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata ramai individu yang berkecimpung dalam bidang pertanian dan industri asas tani termasuk peladang, penternak dan nelayan menjadi jutawan hasil usaha dan daya saing mereka membangun industri itu sekali gus menjadi nadi penting dalam pengeluaran makanan.
“Dulu ramai beranggapan pertanian adalah kerja orang bawahan dan orang miskin, tetapi sekarang tidak lagi, pertanian adalah perniagaan yang menjana pendapatan. Pertanian adalah satu perusahaan yang mampu memajukan petani, peladang dan penternak sekali gus negara.
“Perkara ini penting dikongsikan dalam usaha kita melahirkan lebih ramai petani, peladang, penternak dan nelayan berjaya seterusnya mampu menambah keperluan (makanan) dari semasa ke semasa,” katanya berucap merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Sabah (HPPNS) bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin selaku Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
Musa turut melahirkan keyakinan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS3) yang dilancarkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri pada Mei lalu mampu meningkatkan tahap keselamatan makanan serta pendapatan penggiat industri itu di samping memperkukuh pertumbuhan produktiviti.
“Ia (DPNS3) juga akan meningkatkan lagi daya saing dan mengekalkan kemampanan pertanian negeri menerusi sembilan bidang tumpuan utama yang telah dikenal pasti,” katanya.
Musa juga mahu para petani, peladang, penternak dan nelayan memanfaatkan sepenuhnya sambutan tersebut dengan meneroka potensi serta meningkatkan pengetahuan berkaitan inovasi dan teknologi dalam bidang perladangan, penternakan dan perikanan.
Sementara itu, Yahya dalam ucapannya berkata, beliau berharap institusi kewangan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Agrobank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Yayasan Usaha Maju Sabah dapat memudahkan syarat-syarat pinjaman kepada pengusaha yang terlibat dalam pengeluaran makanan.
Yahya turut menggesa semua jabatan dan agensi terlibat mempertingkat usaha ke arah pensijilan MyGAP iaitu skim amalan pertanian baik Malaysia bagi menjamin keselamatan pengeluaran makanan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk berasaskan pertanian, ternakan dan akuakultur.
Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan anugerah kepada 13 penerima serta sijil penghargaan kepada 68 penerima terdiri daripada petani, peladang, penternak, nelayan dan usahawan sebagai pengiktirafan serta penghargaan kerajaan atas kejayaan mereka membangunkan bidang pertanian di Sabah. – BERNAMA