KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Arkib Negara Malaysia (ANM) akan mendokumentasikan sejarah pengkisahan tiga penaik bendera Persekutuan Tanah Melayu ketika Hari Pengisytiharan Kemerdekaan di Stadium Merdeka di sini pada 31 Ogos 1957.
Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan berkata ketiga-tiga pegawai TLDM itu iaitu Allahyarham Chief Petty Officer Seaman Awang Mohd Salleh, Chief Petty Officer Oliver Cuthbert Samuel dan Lt Komander (Bersara) Mohd Sharif Kalam akan didaftarkan sebagai penaik bendera hari bersejarah itu dalam ANM.
“TLDM sudah tentu akan mendokumentasikan ketiga-tiga penaik bendera ini yang bekerja secara berpasukan yang Allahyarham Awang merupakan penyelia tugas itu, Oliver memegang talinya dan Mohd Shariff pula memegang bendera untuk dinaikkan.
“Tugas menaikkan bendera itu adalah kerja berpasukan. Lebih baik buat penjelasan begitu, kalau tidak ia akan terus menjadi isu pada masa akan datang mengenai siapakah yang menaikkan bendera pada hari kemerdekaan lalu,” katanya.
Anuwi berkata demikian pada sidang media Majlis Pengkisahan Sejarah Kemerdekaan 1957 Penaik Bendera Persekutuan Tanah Melayu, di sini hari ini.
Beliau berkata majlis pengkisahan itu akan diteruskan pada masa akan datang sebagai penghormatan kepada ‘hero tidak didendang’ TLDM dan warisan bernilai kepada kemerdekaan negara sekaligus mengiktiraf sumbangan mereka.
“Ia juga bertujuan membangkitkan semangat patriotisme dan semangat cintakan tanah air bukan sahaja kepada anggota TLDM tetapi juga masyarakat,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Mohd Hashim.
Mengulas usaha itu, Omar berkata sejarah mengenai tiga penaik bendera itu perlu diketengahkan supaya dimasukkan dalam silibus buku teks Sejarah.
“Setakat ini tiada catatan mengenai peristiwa ini memandangkan ianya tidak diketengahkan kepada orang awam jadi ini satu kredit kepada TLDM yang telah menonjolkan mereka agar masyarakat tahu simbolik upacara menaikkan bendera itu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sharif berkata walaupun tugas menaikkan bendera dilihat mudah, namun hakikatnya ia adalah satu tugasan berat memandangkan semua mata wakil-wakil dari lebih 30 negara tertumpu kepada mereka pada waktu itu.
“Faktor utama saya dipilih untuk menaikkan bendera pada 31 Ogos 1957 adalah kerana saya bertanggungjawab menaikkan bendera di atas kapal setiap 8 pagi dan memang sudah biasa dengan rutin itu.
Mohd Sharif yang mula berkhidmat dalam TLDM sejak 1955 berkata beliau, Oliver dan Allahyarham Awang yang meninggal dunia pada 1970 mengambil masa selama tiga malam berlatih menaikkan bendera di sini secara rahsia dan ketika itu tiada sesiapa pun tahu mengenai rupa bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu dan lagu Negaraku.
Oliver yang turut berkongsi pengalaman keemasan itu berkata pada waktu itu beliau berasa agak gusar kerana tugas memastikan tali bendera dalam keadaan sempurna mungkin di bawah tanggungjawabnya.
“Ketika menaikkan bendera, jantung saya berdegup kencang namun saya bersyukur kerana akhirnya semua berjalan dengan sempurna,” katanya yang mula berkhidmat sebagai anggota Malayan Naval Force di Woodlands, Singapura pada 1952. – BERNAMA