JIKA di Malaysia, coklat berwafer rangup KitKat hanya mempunyai beberapa perisa sahaja termasuk teh hijau, tetapi di Jepun terdapat lebih 300 jenis perisa yang kebanyakannya tak masuk akal!
Mungkin tidak semua perisa yang ditawarkan kena dengan tekak semua orang, namun perisa pelik seperti wasabi, ubat batuk, sake (arak diperbuat daripada beras), kicap soya dan kentang bakar ternyata ‘laku keras’ di kalangan peminatnya.
Di sini kami senaraikan 9 perisa KitKat paling pelik yang pernah berada dalam pasaran Jepun buat masa terhad (limited edition) dan kini dijual kembali di laman bidaan eBay pada harga melambung:
1. Tembikai dan Garam
KitKat perisa tembikai dan garam ini diperkenalkan sebagai produk edisi terhad bagi musim panas. Ini kerana, orang Jepun kebiasaannya makan tembikai yang diletakkan sedikit garam sebagai penyejuk badan semasa cuaca panas di Jepun yang mencecah 40 darjah Celsius! Oleh itu KitKat telah memperkenalkan perisa ini yang mungkin dianggap pelik oleh orang luar namun unik dan tersendiri dalam budaya Jepun.
2. Cuka Epal
Cuka epal sememangnya dianggap tonik ‘ajaib’ bagi orang Jepun dan dipercayai menjadi rahsia mengapa orang Jepun mempunyai jangka hayat yang panjang dan kesihatan yang baik. Cuka epal terbaik sebenarnya diperbuat daripada epal-epal segar dari ladang di Okinawa yang terletak di gugusan kepulauan Kyushu. Oleh itu, tidak hairanlah KitKat memperkenalkan perisa ini di pasaran negara itu.
3. Royal Milk Tea (Teh Susu DiRaja)
Jangan tak tahu, sebenarnya orang Jepun bukan sahaja gemar minum teh hijau, malah mereka juga ‘gilakan’ teh susu yang digelar royal milk tea di sana! Perkataan royal atau DiRaja itu dipinjam daripada tradisi minum petang orang British. KitKat teh susu ini diperbuat daripada adunan teh hitam dan susu dari wilayah Hokkaido bersama coklat putih.
4. Kicap Soya (Shoyu)
Bagi penggemar sushi, kicap cair atau shoyu ini biasanya dihidangkan sebagai sos pencicah namun KitKat telah mengadaptasikan perisa umami atau savuri shoyu ini bersama coklat putih. Hasilnya? Khabarnya rasanya tidaklah terlalu pelik, seakan-akan karamel garam laut dengan rasa manis-manis masin yang menerujakan.
5. Wasabi
Wasabi merupakan sejenis lobak hijau yang mempunyai rasa yang pedas menyengat dan biasanya dihidangkan seperti ‘sambal’ di dalam sushi. Tak semua yang tahan dengan rasanya kerana pedasnya menusuk hidung dan bisa ‘clear’kan resdung anda, tetapi Nestle berjaya menyatukan wasabi dan coklat putih dengan baik sekali. Kalau nak cuba, KitKat Wasabi ini ada dijual di kedai-kedai makanan ringan Jepun terpilih di sekitar ibu kota dengan harga RM38.90 sepaket besar.
6. Ubat Batuk
Mengambil perisa gula-gula melegakan batuk bernama Nodo Ame Aji, Kit Kat perisa pelik terbaru edisi tahun 2017 ini mula dijual sejak lewat Ogosa lalu di Jepun. Menurut laman web Nestle Jepun, pembuatnya mahu menggabungkan rasa sejuk ubat batuk itu dengan manis berlemak coklat putih untuk menghasilkan bar KitKat yang ‘nyaman dan menyegarkan’. Fuh! Mungkin rasanya seakan-akan coklat pudina je lah kot?
7. Ubi Keledek Bersira
Ubi keledek merupakan salah satu tanaman yang menjadi kebanggaan nasional masyarakat Jepun di mana ubi keledek terbaik dikatakan ditanam di negeri Okinawa, secara tradsionalnya ubi ini disediakan sebagai pencuci mulut dengan direbus terlebih dahulu sehingga empuk sebelum disira dengan air gula. Nestle cuba untuk menginterpretasikan perisa ini ke dalam KitKat dengan mencampurkannya dengan coklat putih dan khabarnya, ramai yang amat menggemari KitKat keledek bersira yang dikeluarkan untuk masa terhad musim luruh ini.
8. Ginger Ale (Soda Halia)
Soda halia ini biasanya diminum panas-panas semasa musim sejuk di Jepun. Oleh itu, logiklah jika Nestle memperkenalkan KitKat perisa ini untuk edisi terhad musim salji.Menurut beberapa reviu yang kami baca, KitKat soda halia ini mempunyai rasa masam lemon dan sedikit buih-buih seakan-akan air bikarbonat, namun tidak pedas seperti halia.
9. Baked Vanilla Pudding (Puding Vanila Bakar)
Haa,KitKat ini yang apaling unik pada kami kerana ianya perlu dibakar dahulu di dalam ketuhar sebelum boleh dinikmati panas-panas! Mempunyai perisa sirap mapel dan vanila yang manis dan lemak berkrim, apabila dibakar teksturnya bertukar menjadi rapuh dan rangup seperti pastri! Penulis sendiri pernah mencuba varian ini dan ianya memang enak sekali!
Begitulah 9 daripada lebih 300 variasi KitKat yang ada di Jepun mengikut musim. Meskipun kebanyakannya agak asing dan pelik di mata orang luar, namun KitKat amat dekat di hati rakyat Jepun dan mereka sudah pasti ternanti-nanti apakah perisa baru yang akan diperkenalkan di masa hadapan. Kami cadangkan KitKat perisa budu! – MYNEWSHUB.CC