KUANTAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menganggarkan kini terdapat 171 ekor gajah yang sedang mengalami ‘konflik’ di Pahang.
Konflik berlaku disebabkan kawasan keliaran gajah yang semakin mengecil ekoran faktor pembangunan.
Menurut Pengarah Perhilitan Pahang, Ahmad Azhar Mohammed, gajah yang berkonflik itu terdapat di sekitar Jerantut, Lipis dan Bentong yang sering memasuki kawasan perkampungan penduduk bagi mendapatkan makanan.
Beliau berkata kes terbaharu berlaku dua hari lepas apabila penduduk Kampung Paya Garuk di Jerantut dikejutkan dengan kemunculan gajah liar pada tengah malam.
“Masalah berlaku kerana habitat gajah semakin mengecil,” kata Ahmad Azhar kepada Bernama.
Bukan sahaja gajah, malah manusia turut mengalami konflik untuk menangani kehadiran gajah di penempatan manusia.
Ahmad Azhar berkata apabila terdapat aduan mengenai kemunculan gajah-gajah, Perhilitan terpaksa memastikan haiwan-haiwan itu tidak mengancam penduduk dan pada masa yang sama memasatikan haiwan itu sendiri tidak merasa diri mereka diancam oleh manusia.
“Ia memakan masa yang panjang untuk menangkap gajah-gajah itu kerana mamalia itu sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain. Apabila pihak Perhilitan tiba di sesuatu kawasan di mana gajah-gajah itu dilapor muncul, ia sudah pun bergerak meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.
Tambahan pula kata Ahmad Azhar, tugas menangkap gajah bukan mudah kerana selain faktor kekuatan fizikal mamalia itu, faktor geografi juga menyebabkan tugasan itu menjadi lebih mencabar.
Sekalipun gajah-gajah itu dapat ditangkap, beliau berkata kawasan pemindahan yang sesuai perlu dikenal pasti terlebih dahulu dan proses pemindahannya bukan mudah kerana ia kadang-kadang melibatkan jumlah gajah yang banyak.
Beliau berkata apa yang boleh dilakukan penduduk sekiranya gajah muncul di kawasan mereka ialah tidak mengambil tindakan sendiri tetapi melaporkannya kepada Perhilitan yang akan membuat pemantauan. – BERNAMA