KUALA LUMPUR – Bagi memperingati legenda muzik rakyat Hungary, Zoltan Kodaly, satu konsert khas untuk mengiktiraf karya seninya selaku ahli muzik genius akan diadakan di sini esok.
Kodaly merupakan ahli muzik terkenal pada abad ke-19 dan paling dikenali kerana membangunkan ’Kaedah Kodaly’, satu pendekatan dalam pendidikan muzik yang kemudian diberi status sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Duta Hungary ke Malaysia Attila Kadi berkata konsert akan melibatkan persembahan dua pelajar Malaysia di Hungary yang juga bekas pelajar Poco Studio, sebuah sekolah muzik tempatan di Sentul.
“Kodaly ialah rakyat Hungary yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang menerima pujian semua pihak atas sumbangannya dalam muzik rakyat.
“Hasil kerjanya bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan muzik tempatan dan pendidikan, tetapi juga memperkaya budaya dan mempromosi kefahaman antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Konsert tersebut akan diadakan esok pada 7.30 malam di sebuah kediaman persendirian di 12, Jalan Bukit Desa 8, Taman Bukit Desa dan masuk adalah percuma. – BERNAMA