PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengajak rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu memperkasakan semangat patriotisme.
Dalam mesej di laman Facebooknya sempena Hari Malaysia, hari ini, beliau turut mengajak masyarakat membina pemikiran positif dan menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu dan berfikiran optimis demi negara kita yang tercinta. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya.
Ali turut mengucapkan Selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-84 yang turut disambut hari ini, kepada semua anggota keselamatan negara. – BERNAMA