PUTRAJAYA – Wisma Putra hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi melarang rakyat negara untuk memasuki Korea Utara berkuat kuasa 28 September sehingga pengumumuman sebaliknya dibuat.
Arahan secara serta merta berkenaan dikeluarkan berikutan situasi ketegangan yang memuncak di rantau tersebut susulan ujian peluru berpandu yang dijalankan baru-baru ini.
“Keputusan ini diambil memandangkan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea dan perkembangan berkaitan yang timbul daripada ujian peluru berpandu.
“Larangan akan dikaji semula apabila keadaan kembali normal,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Tunku Mahkota Johor pada 19 September lalu telah diberi penghormatan istimewa dari Kerajaan Korea Utara iaitu kebenaran sepenuhnya menggunakan ruang udara republik itu pada bila-bila masa.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu diberi pernghormatan sedemikian hasil dari perbincangan dengan Setiausaha Pertama Korea Utara, Kim Yu Song yang diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai perlawanan pasukan bola sepak Malaysia yang dijadualkan bertemu Korea Utara bagi aksi ketiga Kelayakan Piala AFC 2019 Kumpulan B di Pyongyang pada 5 Oktober depan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada larangan perjalanan itu bakal menjejaskan perlawanan timbal balas tersebut yang tertunda beberapa kali.
Secara tradisinya, Malaysia masih mengekalkan hubungan mesra dengan rejim komunis Korea Utara walaupun negara itu dipinggirkan sebahagian besar negara maju.
Malaysia antara 21 negara yang diberi status visa percuma oleh Korea Utara dan salah satu daripada 24 negara yang mempunyai pejabat kedutaannya di Pyongyang.
Namun hubungan Putrajaya-Pyongyang tegang tahun ini ekoran insiden pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong un, Kim Jong nam, 46, mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 pada 13 Februari lalu. – MYNEWSHUB.CC