KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir acara bola sepak Cerebral Palsy (CP) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (APG 2017) selepas menang bergaya 12-0 ke atas Kemboja pada aksi terakhir kumpulan A di Padang Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, hari ini.
Farisan Jasnal mencuri tumpuan apabila melakar lima jaringan pada minit ketujuh, 14′, 24′, 36′ dan 49′ manakala ketua pasukan, Mohd Sobri Ghazali menyumbang empat jaringan pada minit ke-16, 22′, 46′ dan 52′.
Tiga lagi gol Malaysia dijaringkan oleh Khairi Ismail, Uthman Surur dan Zul Asyraf Zulkifli, masing-masing pada minit ke-30, 37′ dan 54′ untuk membolehkan skuad negara mengungguli kumpulan A.
Untuk rekod, Malaysia menewaskan Singapura 5-3 pada aksi pembukaan kumpulan A, semalam.
Jurulatih bola sepak CP negara, Asnan Md Zuki yang ditemui pemberita selepas aksi hari ini, memuji persembahan cemerlang ditampilkan pemainnya, sambil berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat bagi menghadapi aksi separuh akhir berdepan naib juara kumpulan B pada Khamis.
“Kita sasarkan tiga mata tetapi saya tidak jangka kita boleh menang besar. Pemain-pemain semuanya begitu bermotivasi dan mereka mengikut arahan, bermain sepertimana taktikal yang dirancang.
Saya harap kita dapat kekalkan momentum di separuh akhir, dapat perbaiki pencapaian menduduki tempat keempat pada 2015 di Singapura dengan mara ke final,” jelas Asnan.
Terdahulu, juara bertahan Thailand kalah mengejut 1-2 kepada Indonesia pada aksi kedua Kumpulan B di venue yang sama.
Thailand bagaimanapun mendahului perlawanan menerusi jaringan Wanna Nattapong seawal minit keenam perlawanan sebelum Indonesia bangkit melakar dua jaringan pada babak kedua perlawanan hasil sentuhan penyudah Joko Saputra Adi pada minit ke-32 dan Hernanda Yahya pada minit ke-46.
Juara dan naib juara kumpulan B hanya akan ditentukan selepas berakhirnya aksi pusingan awal di venue yang sama, esok. – BERNAMA