KULIM – Seorang lagi penduduk menjadi mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Tepus di Bandar Baharu dekat sini menjadikan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 66 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim/Bandar Baharu, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ulu berikutan air belum surut sepenuhnya di kawasan kediaman mereka selain ada yang belum selesai mencuci rumah mereka yang telah dinaiki air.
“Pagi ini juga kita menerima tiga lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) dan 11 warga emas yang dipindahkan pusat pemindahan bagi memastikan keselamatan mereka.
“Kita bersama pihak agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA