ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir kilat dari Kampung Sungai Tepus di Bandar Baharu dekat Kulim yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ulu meningkat kepada 59 orang daripada 15 keluarga setakat 2 petang ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata penambahan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan itu berikutan air belum surut sepenuhnya di kawasan kediaman mereka.
“Hujan sudah berhenti tetapi pihak kita bersama agensi berkaitan terus memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hujan lebat sejak lewat petang semalam menyebabkan air mulai meningkat sekitar 7 malam tadi di kampung berkenaan sehingga menjejaskan 100 penduduk membabitkan 32 rumah. – BERNAMA