JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki yang sedang mereput ditemui terapung di sebuah jeti di Jalan Shahbandar, Batu Pahat, dekat sini, semalam.
Penemuan tersebut dilaporkan pada pukul 10.18 pagi oleh orang awam yang berada di kawasan kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata pemeriksaan ke atas mayat menemukan sebuah beg mengandungi telefon bimbit, kad bank dan pelbagai dokumen peribadi.
“Mangsa yang didapati sudah berkahwin itu dikenali sebagai Ang Song Chiew, 38, berasal dari Jalan Tukas 4, Taman Soga, Batu Pahat.
“Dia dipercayai tergelincir ketika berada di tepi jeti berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Wahib berkata mayat telah diserahkan kepada keluarga mangsa setelah melalui proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail,Batu Pahat. – BERNAMA