GEORGE TOWN – Seorang pekerja kilang yang dilaporkan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Paya Terubong ketika menunggang motosikal meredah banjir semalam, ditemukan lemas di dalam sungai berhampiran Bukit Jambul hari ini.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Azman Hussin berkata mayat Noor Afidah Yajunas, 29, ditemui pada 7.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat yang ditubuhkan susulan kejadian.
“Dalam kejadian semalam, mangsa dilaporkan terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya dan dihanyutkan arus deras. Berikutan itu pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat wanita itu.
“Kami menjalankan operasi mencari bermula dari lokasi mangsa terjatuh iaitu di dalam longkang yang mempunyai keluasan dan kedalaman satu meter itu hingga ke kawasan sungai berdekatan semalam namun gagal menemui mangsa,” katanya di sini hari ini.
Katanya operasi diteruskan malam tadi hingga awal pagi ini bersama beberapa agensi lain antaranya polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Pada pukul 7.45 pagi, komander operasi menemui mayat mangsa di dalam sungai berhampiran kawasan Bukit Jambul,” katanya menambah mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Sementara itu, ibu mangsa Hadisah Jalil, 60-an, berkata mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu namun bersyukur kerana mayat anaknya berjaya ditemukan hari ini.
“Selepas dimaklumkan kejadian itu semalam, mak cik dan keluarga berdoa agar dia ditemui selamat tetapi hari ini hanya mayatnya ditemui. Walaupun sedih.. mak cik terima,” katanya. – BERNAMA