TAIPING – Mayat seorang warga emas ditemui terapung dalam tasik di Taman Tasik Taiping, tengah hari tadi oleh orang awam yang berada di kawasan itu.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa dikenali sebagai Lee Ah Leng, 77, dan berasal dari Pokok Assam, di sini.
“Mangsa dipercayai pergi ke Taman Tasik Taiping pagi tadi untuk bersenam kerana ia adalah rutin hariannya.
“Bagaimanapun, hari ini mangsa dipercayai tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya.
“Malah ahli keluarga juga tidak berjaya mencarinya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya, pada kira-kira jam 1.45 petang, ahli keluarga dimaklumkan oleh orang awam bahawa mayat mangsa terapung di kawasan Taman Tasik Taiping.
“Difahamkan, mangsa turut menghidap penyakit darah tinggi dan dipercayai mungkin ketika berjalan kakinya tersadung lalu terjatuh ke dalam tasik menyebabkannya lemas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Mazli Abd Mutalib berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung penemuan itu pada kira-kira jam 1.54 petang tadi.
“Semasa anggota tiba di lokasi kejadian, didapati mayat mangsa ditemui terapung di dalam tasik berhampiran Hotel Flamington.
“Kita turut mendapat bantuan daripada pihak polis dan usaha mengangkat mangsa segera dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, “mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.” – BERNAMA