LONDON – Harga minyak dunia berada lebih tinggi hari ini, dengan pasaran menanti untuk menyaksikan sama ada pengeluar minyak utama dunia akan menyokong lanjutan pemotongan output melangkaui Mac depan pada satu mesyuarat di Vienna.
Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$56.51 satu tong pada 0725 GMT, meningkat enam cent, atau 0.11 peratus daripada penutup terakhirnya.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) menokok 10 cent, atau 0.2 peratus, pada AS$50.65 satu tong.
Beberapa menteri daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain akan bertemu di Vienna pada 0900 GMT hari ini, bagi membincangkan kemungkinan melanjutkan perjanjian pemotongan bekalan minyak yang disasar akan menyokong harga minyak.
Seorang sumber OPEC memberitahu Reuters mesyuarat ditangguhkan dari 0800 GMT.
Menteri daripada negara OPEC dan pengeluar lain diketuai Russia akan membincangkan kemungkinan melanjutkan perjanjian di mana pengeluar mengurangkan output sebanyak 1.8 juta tong sehari (bpd).
Mereka juga dijangka membincangkan idea memantau eksport bagi menilai tahap pematuhan perjanjian. – Reuters