BRASILIA – Hanya dengan tiga peratus undian, Michel Temer disifatkan sebagai presiden paling teruk dalam sejarah Brazil, berdasarkan tinjauan dijalankan syarikat Ibope.
Peratusan sokongan jatuh dua peratus lebih rendah daripada tinjauan yang dijalankan Jun lepas.
Tinjauan dibuat atas permintaan Konfederasi Industri Negara (CNI).
Sebanyak 77 peratus pengundi mendapati pentadbiran Temer teruk atau sangat teruk, 16 peratus (biasa) dan tiga peratus (baik atau sangat baik) manakala tiga peratus lagi tidak memberikan sebarang jawapan.
Tinjauan melibatkan 2,000 orang di 126 daerah perbandaran, bermula 15 hingga 20 September.
Sokongan terhadap Presiden Brazil itu merudum berikutan pertuduhan difailkan bekas ketua pendakwa Rodrigo Janot di Mahkamah Agung pada September lepas.
Temer dituduh menghalang keadilan dan terlibat kegiatan haram, ia merupakan pertuduhan kedua yang dihadapinya.
Pada Mei, Temer dituduh menerima rasuah daripada syarikat pembungkusan daging terbesar Brazil JBS, namun penggubal undang-undang Brazil kemudian memutuskan kes itu digugurkan. – BERNAMA