KUALA LUMPUR — Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) perlu dilihat sebagai satu kebanggaan negara kerana menggunakan teknologi termaju pada masa kini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata ia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selain berperanan menempatkan bakat tempatan dalam bidang kejuruteraan.
“Bagi MOSTI, semua ini adalah membanggakan kerana negara kita sudah sampai ke tahap ini dari segi teknologi, inovasi yang diperkenalkan supaya akhirnya rakyat dapat mengetahui bahawa negara kita sudah jauh ke hadapan.
“Dari segi bakat dan tenaga kerja pula, kita akan kumpulkan segala data berkenaan dan akan kita tunjukkan kepada pelabur berpotensi bahawa negara ini mempunyai bakat dalam bidang-bidang berkaitan perkhidmatan ini khususnya kejuruteraan supaya mereka berkeyakinan untuk datang melabur di negara ini,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke Pusat Kawalan Operasi MRT Sungai Buloh-Kajang di Sungai Buloh hari ini.
Terdahulu, Madius berserta Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya serta pegawai-pegawai kementerian membawa sekumpulan pelajar anak-anak orang Asli dari SK Dengkil menaiki MRT dari stesen Tun Razak Exchange ke stesen Kwasa Damansara untuk memberi peluang kepada mereka merasai kemudahan pengakutan awam yang terbaharu itu.
Dalam pada itu, Zohari berkata MRT merupakan sistem pengangkutan awam berteknologi tinggi dan ia berkembang pesat, sekali gus memerlukan tenaga kerja yang cekap serta berkemahiran tinggi baik dari segi kejuruteraan mahupun pengurusan.
Bagi memastikan perkara itu tercapai, beliau berkata, pihak RapidKL telah bekerja sama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan politeknik untuk menyediakan peluang pendidikan serta latihan praktikal kepada para pelajar tentang teknologi di MRT. – BERNAMA