KUALA LUMPUR – Malaysia akan membawa isu kestabilan harga pasaran getah dunia di Persidangan Getah Tiga Pihak Antarabangsa yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 15 September, 2017.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu berkata ini berikutan isu kestabilan harga pasaran getah dunia berkenaan menjadi kebimbangan kalangan pemain industri getah negara, termasuk lebih 450,000 pekebun kecil getah tempatan.
“Itu adalah antara agenda utama yang bakal dibawa Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Persidangan itu akan turut dihadiri oleh Menteri Pertanian Thailand, Jeneral Chatchai Sarikulya dan Menteri Perdagangan Republik Indonesia, Drs. Enggartiasto Lukita.
Mah berkata, Malaysia merupakan pengeluar getah asli kelima terbesar dunia pada tahun 2016 dengan jumlah pengeluarannya sebanyak 0.67 juta tan iaitu di belakang negara lain seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan China.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bahawa antara isu utama dihadapi oleh industri pemprosesan sektor getah tempatan adalah kekurangan bekalan bahan mentah serta keperluan pematuhan piawaian kualiti bagi bahan mentah import.
Sehubungan itu, Mah berkata, kerajaan telah merancang pelbagai program untuk meningkatkan produktiviti serta pengeluaran getah asli dalam negara seperti pelaksanaan program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan peningkatan infrastruktur bagi tujuan pengeluaran lateks.
Menurutnya, industri sarung tangan getah juga digalakkan untuk menggunakan lateks tempatan dalam pembuatan produk itu serta mengurangkan import bahan berkenaan dari negara jiran.
Mah juga memaklumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman getah menjelang tahun 2020 manakala keluasan kawasan torehan diperluaskan kepada 1 juta hektar berbanding 670,000 hektar ketika ini.
“Menerusi (pelaksanaan) usaha berterusan kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta automasi, kadar produktiviti juga dijangka akan meningkat daripada 1.2 tan/hektar kepada 2.0 tan/hektar dalam usaha memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan bagi kegunaan industri tersebut,” kata beliau. – BERNAMA