KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyeru seluruh umat Islam negara ini melupakan perselisihan faham dalam kalangan mereka dan mengeratkan perpaduan bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam ketika ini merupakan satu kelemahan yang bakal diambil kesempatan oleh musuh Islam.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jika kita berpecah, musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan ke atas kelemahan kita, Ingatlah jangan sampai nasi menjadi bubur.
“Marilah kita bersama-sama membina ukhwah Islamiah meskipun berlainan ideologi politik. Perbezaan ideologi politik sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan jika kita matang dan berpegang teguh dengan tali Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ibrahim berkata, Allah SWT mewajibkan umat Islam memperkasakan ukhuwah Islamiah dan mengelakkan konflik serta perbezaan ideologi yang boleh menghancurkan umat Islam.
Kata beliau, umat Islam perlu juga memikirkan kedudukan mereka sebagai satu umat yang bersatu padu dan maju serta sebagai umat yang terbaik berlandaskan senario semasa dalam negara dan di persada antarabangsa.
Katanya, Perkasa memandang serius isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu melalui media sosial.
“Perkasa menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan segera dan memberikan hukuman yang berat agar ia tidak berulang,” katanya. – MYNEWSHUB.CC