SEREMBAN – Mutu perkhidmatan kereta sewa dan teksi bandar di bandar ini perlu dipertingkatkan lagi seiring dengan pembangunan pesat Negeri Sembilan khususnya apabila projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, siap dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata ia penting bagi menjaga imej baik negara di mata pelancong asing yang datang ke negara ini menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Selepas siapnya projek kereta api laju itu, ramai pelancong luar akan ke Seremban kerana satu daripada stesennya ialah di Labu dan sudah tentu permintaan teksi akan meningkat kerana di sini kita tiada perkhidmatan awam seperti laluan Transit Aliran Ringan (LRT).
“Oleh itu, Seremban memerlukan pengusaha teksi yang berkualiti untuk menarik lebih ramai pelancong dengan meningkatkan mutu perkhidmatan yang terbaik ditawarkan oleh pemandu teksi dan kereta sewa di sini,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung ketujuh Persatuan Muhibah Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Bandar Seremban di sini, hari ini yang turut dihadiri pengerusinya P. Ravichantar.
Pada 13 Dis lepas, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang memberi laluan kepada pelaksanaan HSR Kuala Lumpur-Singapura dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh di Putrajaya.
Projek HSR merangkumi lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura. Landasan sepanjang 350 kilometer itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kereta api berkelajuan melebihi 300km sejam.
Sementara itu, Ravichantar pula mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu talian khas untuk perkhidmatan teksi di negara ini bagi menyaingi perkhidmatan Uber dan Grabcar, yang didakwanya telah memberi kesan teruk kepada pendapatan mereka.
“Hasil pemandu teksi sudah merosot hampir 50 peratus daripada sebelum ini dan kadang-kadang hendak dapatkan RM50 pun sangat susah. Masalah ini dihadapi oleh seluruh pemandu teksi sejak wujudnya perkhidmatan Uber dan Grabcar ini.
Talian khas ini diharap akan beroperasi dengan cara jika ada penempahan, sebuah teksi akan disediakan dan akan menjemput pelanggan untuk dihantar ke lokasi seluruh negara berserta nombor telefon pemandu berkenaan,” katanya.
Pada 16 Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri meminta perkhidmatan teksi bekerjasama dengan perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.
Beliau berkata ini berikutan ramai pemandu teksi merungut kerana risau pendapatan mereka terjejas dengan adanya perkhidmatan Uber dan GrabCar yang menggunakan aplikasi e-hailing. – BERNAMA