KUALA LUMPUR – Parti DAP mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada tiga soalan yang dibangkitkan oleh pemimpin MIC mengenai nasib kaum India selama 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Tiga soalan itu siapa yang menyebabkan pengurangan kaum India dalam perkhidmatan awam, siapa yang menyebabkan kaum India dipindahkan dari ladang-ladang ke rumah-rumah panjang secara sistematik dan siapa yang memulakan pengambilan tidak adil ke universiti.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam usahanya mempertahankan Mahathir mendakwa kononnya tiga soalan itu sepatutnya ditujukan kepada Tun Samy Vellu kerana Samy Vellu merupakan bekas pemimpin MIC sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri.
“Ini adalah soalan yang relevan, tetapi orang yang paling baik untuk menjawab soalan-soalan ini adalah Samy Vellu yang merupakan menteri mewakili MIC dan masyarakat India sepanjang 22 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahathir sejak menyertai Pakatan Harapan gara-gara berdendam dengan UMNO menjadi `ayam sabung’ DAP bagi membantu parti pembangkang terutama DAP mendapat sokongan kaum Melayu.
Bekas Perdana Menteri itu malah dibawa menjelajah ke kawasan-kawasan luar bandar terutama perkampungan Melayu dan Feda oleh DAP dan Pakatan Harapan untuk berkempen memburuk-burukkkan UMNO.
Mahathir menyertai Pakatan Harapan selepas menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana kecewa kepentingan peribadinya tidak dipenuhi Kerajaan Persekutuan.
Selain DAP dan PPBM, Pakatan Harapan turut dibarisi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN). – MYNEWSHUB.CC