KENYATAAN pengacara Nazrudin Habibur Rahman atau Naz mengenai isu mati syahid ternyata memakan diri apabila netizen telah memberi ‘serangan balas’ terhadapnya.
Oleh kerana itu, Naz memilih untuk bersikap matang dan memohon maaf andai ada perkataan yang diluahkan di laman Twitter miliknya mengenai isu mati syahid menimbulkan perasaan kurang senang netizen.
Menurut Naz, 39, apa yang diluahkannya itu bukan untuk mempertikaikan kenyataan ‘mati syahid’ tersebut.
Kaitan: Pengacara JJCM TV3 ‘Hina’ Pengetua Tahfiz Isu Syahid
Sebaliknya, dia mahu pihak yang menguruskan pusat pendidikan mengutamakan keselamatan pelajar dan tidak terlalu mudah memberi alasan bagi menutup sesuatu kejadian.
“Ini bukan kali pertama berlaku, sudah banyak kes kebakaran asrama yang membabitkan kematian kanak-kanak.
“Saya bukan menafikan tentang hal mati syahid tetapi saya mempertikaikan tentang keselamatan yang sepatutnya dititikberatkan.
“Sampai bila kita mahu menerima alasan yang sama apabila ia membabitkan kematian,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menerusi akaun Twitter @nazrudinrahman, dia ada menulis ‘Mati syahid? What a bangsat cop out answer. Tell me something I don’t know’.
Postingnya itu mendapat hampir 6,000 retweet dan ratusan komen daripada pengikut.
Ia memetik laporan sebuah portal berita tempatan yang melaporkan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah Muhammad Zahid Mahmod menganggap 21 orang pelajar dan dua warden mereka mati syahid dalam kebakaran asrama di Kuala Lumpur pada 14 September lalu.
Kata Naz lagi, niatnya hanyalah untuk membuka mata pihak berwajib mengenai kepentingan keselamatan serta berharap kenyataannya itu mampu membuka mata ramai pihak terutama pihak berkuasa mengenai keselamatan pusat pendidikan. – MYNEWSHUB.CC