SEMPORNA – Nelayan di daerah ini terus menerima manfaat daripada kerajaan apabila 923 dripada mereka menerima bantuan elaun sara hidup keseluruhan bernilai RM262,950.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata perkara itu sekali gus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin terhadap golongan tersebut.
“Dengan bantuan ini para nelayan lebih bersemangat lagi turun ke laut dan menangkap lebih banyak ikan.
“Diharap bantuan ini dihargai dan rakyat terus bersatu memberikan sokongan padu kepada BN yang sentiasa berusaha membawa pembangunan serta kemudahan kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang merasmikan majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan di sini hari ini.
Setiap nelayan menerima antara RM150 sehingga RM300.
Dalam pada itu, Nasir mahu golongan nelayan menitikberatkan aspek keselamatan serta memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan untuk kepentingan bersama.
“Nelayan juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa termasuk arahan perintah berkurung,” katanya.
Seorang penerima Mohd Fauzi Ismail, 38, berkata kerajaan BN merupakan kerajaan yang baik kerana meskipun sering dimomokkan dengan kata-kata tidak baik, namun usaha membantu rakyat tetap dilaksanakan.
“Saya menghargai usaha kerajaan membantu nelayan seperti kami kerana dengan elaun yang diberikan setiap bulan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup kami,” katanya.
Ismail Jala, 52, pula menzahirkan rasa terima kasih kepada BN dan berharap elaun itu dari semasa ke semasa dapat diteruskan dan ditambah nilainya untuk kelangsungan hidup. – BERNAMA