PUTRAJAYA – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diundang untuk menganggotai pasukan petugas khas bagi menyelaras aspek keselamatan di semua sekolah termasuk sekolah tahfiz.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya dibiarkan bersendirian memantau aspek keselamatan sekolah mengikut sudut pendidikan sahaja.
Menegaskan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar tidak harus berulang, Ahmad Zahid berkata NIOSH, yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, wajar diberi peranan penting untuk melihat aspek keselamatan di sekolah-sekolah.
“Kita mahu anak-anak di sekolah selamat dan berada di tahap kesihatan tertinggi.
“Jangan lupa guru-guru dan tenaga-tenaga kerja yang lain di sekolah adalah juga sebahagian daripada kita,” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) Ke-20 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kebakaran Pondok Pak Ya di Pendang, Kedah pada 1989 yang menyebabkan 28 kematian telah mengeluarkan syor, namun ia tidak diikuti.
Katanya walaupun kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah disebabkan faktor khianat namun aspek keselamatan di premis tersebut juga perlu dilihat.
“Saya sendiri pergi melihat (tempat kejadian), tempat tidur berjeriji besi dan tiada jalan keluar. Inilah yang berlaku apabila aspek keselamatan tidak diberi keutamaan,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan pusat tidak berhasrat campur tangan di sekolah atau maahad tahfiz di bawah kawal selia jabatan agama Islam negeri-negeri, namun pembentukan pasukan petugas khas itu perlu bagi menentukan tahap keselamatan di sekolah mencapai piawaian ditetapkan.
“Pasukan petugas khas diwujudkan atas keprihatinan supaya tidak berlaku lagi (kebakaran). Pasukan Petugas Khas akan menyarankan NIOSH membantu sekolah-sekolah termasuk maahad tahfiz,” katanya.
Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye yang ditemui selepas majlis itu, berkata NIOSH bersedia memberi kerjasama dan input kepada pasukan petugas khas dan antara cadangan yang akan dikemukakan termasuklah mewajibkan semua sekolah membentuk jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang dianggotai oleh pengurusan sekolah termasuk pengetua, guru dan wakil pelajar.
Ini kerana, katanya, sekolah dilihat sebagai sebuah premis kerja yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan premis yang mempunyai 40 atau lebih pekerja perlu membentuk jawatankuasa KKP.
“Jawatankuasa ini akan terlibat bagi membincangkan semua perihal berkaitan keselamatan dan kesihatan kerana pendekatan “Sekolah Selamat” bukan sekadar berkisar pada aspek disiplin, jenayah, buli dan sebagainya malah ia juga merangkumi persoalan keselamatan termasuk bangunan sekolah dan asrama, peralatan dan semua kemudahan di sekolah,” katanya.
Lee berkata bangunan sekolah yang berusia 20 tahun dan ke atas juga perlu diaudit setiap tahun bagi memastikan semua kemudahan adalah selamat untuk digunakan.
Dalam aspek itu, katanya NIOSH mempunyai kepakaran untuk membangunkan modul yang lebih menyeluruh selain menyediakan manual khas dan borang standard yang boleh digunakan oleh guru atau pegawai keselamatan dan kesihatan untuk menjalankan audit dengan mudah.
Katanya NIOSH juga telah melaksanakan Program Keselamatan dan Kesihatan (OSH) di Sekolah di lebih 50 sekolah bagi memupuk kesedaran dan mempraktikkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan guru, kakitangan sokongan dan pelajar. – BERNAMA